Pusat Sembelih Ayam Masih Tiada Sijil Halal

KUALA LUMPUR: Walaupun sudah berulang kali diserbu pihak berkuasa dan diberi ‘tarbiah’, segelintir pemilik pusat pemprosesan ayam di beberapa pasar di sini, berdegil dan enggan membuat permohonan sijil halal.

Lebih membimbangkan apabila pelanggan pusat penyembelihan terbabit bukan saja di kalangan peniaga bukan Islam, malah dipercayai turut dibeli pemborong dan peniaga kecil yang beragama Islam.

Dalam pemeriksaan kira-kira jam 4 pagi semalam, di Pasar Borong Selayang dan Pasar Jinjang, di sini, yang dilakukan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendapati selain tidak mempunyai sijil halal, beberapa aspek penyembelihan turut diabaikan.

Menurut Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Jailani Ngah, setiap ayam yang disembelih tidak dilakukan pemeriksaan, malah pisau yang digunakan pula tidak dibasuh setiap kali sembelihan.

“Sepatutnya setiap ayam yang disembelih perlu diperiksa untuk memastikan ia benar-benar disembelih dan sah mengikut hukum syarak.

“Malah, hanya dua tukang sembelih yang bekerja dalam dua jam bagi menyembelih 4,000 ayam,” katanya yang turut serta operasi terbabit.

Menurut Jailani, tiga pusat penyembelihan yang diperiksa juga mengabaikan aspek kebersihan iaitu kotor dan menjijikkan apabila ayam mati dilonggokkan di atas lantai.

Bagaimanapun, beliau berkata, dua daripada tiga pusat penyembelihan itu menggunakan khidmat tukang sembelih yang bertauliah dan memiliki kad penyembelihan dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Jawi).

Katanya, hasil pemeriksaan juga mendapati ayam yang dibekalkan mereka tidak sihat dan mungkin berpenyakit berdasarkan bahagian yang lebam dan hitam.

“Permintaan tinggi ketika Ramadan dan menjelang Syawal menyebabkan pengusaha agresif menghabiskan stok ayam sehingga mengabaikan aspek pematuhan halal.

“Atas sebab itu, kami mahu menyedarkan masyarakat dan jabatan agama negeri membuat pemeriksaan dan memantau pusat penyembelihan ayam supaya penguasa yang memiliki sijil halal turut mengambil berat,” katanya.

Operasi itu disertai pegawai Bahagian Pelesenan dan Kesihatan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang memastikan penguasa memiliki lesen sah dan mematuhi syarat.

Sumber: Harian Metro

Pekerja Lari Lintang-pukang

KUALA LUMPUR: Tiga pusat penyembelihan ayam di Pasar Borong Selayang, di sini, diserbu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bersama Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan polis, awal pagi semalam selepas menerima aduan mengenai keraguan cara penyembelihan dan kebersihan.

Harian Metro difahamkan ayam di pusat penyembelihan itu didapati tidak disembelih secara sah menurut hukum Islam selepas didapati urat halkum ayam disembelih tidak sempurna.

Namun, kehadiran pihak berkuasa kira-kira jam 1 pagi itu seolah-olah dihidu apabila beberapa pekerja pusat penyembelihan yang dipercayai tidak mempunyai tauliah lari lintang-pukang dan gagal diberkas.

Penolong Pengarah Unit Halal Jais, Ahmad Solihin Maryakoon, berkata dia terkejut apabila banyak ayam yang disembelih kelihatan meragukan kerana dikhuatiri mati lemas dan tersepit dalam bakul yang disediakan.

Menurutnya, keadaan itu menimbulkan isu syubahah atau curiga sama ada ia halal dimakan atau sebaliknya berikutan pernah berlaku peniaga melemaskan ayam yang baru disembelih ke dalam tong besar berisi air atau menindihnya dalam tong bagi mempercepatkan proses kematian sebelum diproses dan dijual kepada orang ramai. Pengarah Jabatan Kesihatan MPS, Dr Razif Zainal Abidin, pula berkata pemeriksaan mendapati kebanyakan ayam disembelih dengan cara tidak sempurna dan sijil halal tiada di premis.

“Ketiga-tiga pusat penyembelihan dikenakan kompaun sebanyak RM5,000 kerana melanggar undang-undang kecil syariah seperti tidak mengambil suntikan imunisasi untuk setiap pekerja, tidak menjaga kebersihan, tidak mempunyai permit perniagaan, melanggar syarat penyembelihan dan darah ayam disalurkan terus ke longkang utama.

“Sebuah pusat penyembelihan turut disita kerana membuat penambahan lot tanpa izin daripada MPS dan menggunakan bekalan elektrik dari bangunan bersebelahan,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Solihin berkata, penggunaan voltan elektrik bagi memudahkan proses penyembelihan adalah dibenarkan, tetapi pada kadar yang rendah supaya ayam tidak mati akibat kejutan elektrik.

“Kepada pengusaha Islam yang didapati bersalah menjalankan penyembelihan secara haram akan dikenakan hukuman denda tidak kurang dari RM3,000 atau penjara selama dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

CommentLuv badge