Ibu Pejabat HPA RM 54 Juta Di Shah Alam

Harian Metro, 26 Mei 2010 – Ruangan Bisnes

HPA Industries Sdn Bhd (HPA), menamakan bangunan 12 tingkat bernilai RM54 juta yang dibeli di Seksyen 13 Shah Alam sebagai HPA International Center (HIC), sekali gus menjadi ibu pejabat syarikat jualan langsung (MLM) milik penuh Bumiputera terbesar di Malaysia.

Sehubungan itu, beberapa jabatan utama di ibu pejabat HPA di Jejawi, Perlis, akan berpindah secara berperingkat.

Pengarah Urusan HPA, Ismail Ahmad berkata, perasmian bangunan baru itu tidak akan diadakan pada 1 Jun ini sebaliknya pada satu tarikh yang bakal diumumkan kelak.

Menurutnya, Jabatan Pentadbiran HPA adalah yang pertama akan berpindah ke bangunan baru berkenaan.

“Kami tidak akan mengadakan majlis besar-besaran sebaliknya sekadar doa selamat dan kunjungan ahli untuk melihat bangunan yang dibeli hasil usaha mereka mengedarkan produk keluaran HPA,” katanya.

Mengikut perancangan, selain pelbagai jabatan utama di HPA, bangunan berkenaan turut menempatkan premis perniagaan seperti HPA Halal Mart dan restoran makanan segera milik syarikat berkenaan seperti Radix Fried Chicken (RFC), Radix Chicken House (RCH), Radix Pizza House (RPH), Radix Bakery House (RBH) dan Radix Oriental Cuisine (ROC).

HPA adalah MLM yang mempunyai Panel Syariah sendiri dan kini mempunyai lebih 600,000 ahli di Malaysia manakala 250,000 di Indonesia selain mempunyai cawangan di Brunei, Thailand dan Kemboja.

Pada masa ini, HPA mengeluarkan lebih 300 produk makanan tambahan, ubatan herba dan kegunaan harian yang dijual di lebih 170 cawangan HPA di seluruh negara dengan nilai jualan mencecah RM18 juta sebulan.

One thought on “Ibu Pejabat HPA RM 54 Juta Di Shah Alam”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

CommentLuv badge