HPA Dalam Akhbar 1

“ISMAIL PAKAR AKAR KAYU, HERBA”

Orangnya cukup sederhana sekalipun memiliki rangkaian perniagaan bernilai jutaan ringgit…

30 April 2006

ORANGNYA cukup sederhana sekalipun memiliki rangkaian perniagaan bernilai jutaan ringgit. Ketika ahli perniagaan setarafnya bergaya dengan banglo, beliau lebih selesa menetap di rumah pusaka keluarganya yang beratapkan rumbia dan berdindingkan buluh.

Ia cukup berbeza dengan bangunan HPA Industries Sdn. Bhd. (HPA), syarikat yang diasaskannya pada 1997 yang tersergam indah di Jalan Jejawi, Perlis.

Ini tidak termasuk dua kilang miliknya di Kawasan Perindustrian Kuala Perlis bernilai RM10 juta.

Mungkin mereka yang pertama kali berjumpa Pengarah Urusan HPA itu akan mengaitkan kesedarhanaan hidup beliau dengan imej waraknya.

Namun bagi Ismail Ahmad, 43, kehidupan peribadi dan perniagaan mempunyai sempadannya yang tersendiri.

“Saya lebih selesa jika orang mengenali produk dan syarikat ini daripada diri saya,” kata ‘tauke HPA’ itu sebaik wartawan Metro Ahad melangkah masuk ke pejabatnya di Perlis, baru-baru ini.

Kenyataan itu melahirkan rasa bimbang jika gagal mendapatkan maklumat dikehendaki untuk menulis di ruangan ini. Namun dalam tempoh singkat, sesi temu bual yang bermula dengan formal berubah kepada suasana penuh mesra dan ceria.

Keadaan menjadi bertambah rancak apabila graduan Universiti Putra Malaysia (UPM) itu menceritakan mengenai hobinya sejak zaman kanak-kanak untuk memasuki hutan bagi mencari pokok herba dan akar kayu.

“Hobi ini bermula sejak saya berusia 12 tahun dan kini dipindahkan menjadi kerjaya dan perniagaan teras saya hari ini sebagai pengeluar produk kesihatan berasaskan herba,” katanya.

Ismail yang juga anak jati Jejawi berkata, walaupun kini memiliki perniagaan yang mempunyai rangkaian di seluruh Asia Tenggara, beliau masih memperuntukkan masa sekurang-kurangnya 2 atau 3 hari dalam sebulan untuk memasuki hutan.

“Bukan bersikap takabbur, tetapi hampir seluruh hutan dan bukit di sekitar Perlis dan Kedah ini sudah saya jelajahi.

“Bermula daripada kanak-kanak dengan mengekori orang yang lebih dewasa untuk belajar pengalaman mereka, kini jika saya mahu mencari sesuatu akar kayu atau herba, Insyaallah saya boleh ingat di hutan dan bukit mana.

“Malah, jika sesuatu herba atau akar kayu itu dibalut dengan kain, hanya daripada bau dan memegang bentuknya saya boleh tahu jenisnya,” katanya.

Mengenai pengalaman pelik atau mencemaskan sepanjang 21 tahun meredah hutan dan bukit, Ismail berkata, beliau bersyukur kepada Tuhan kerana setakat ini hanya menemui tapak peninggalan binatang buas seperti gajah dan harimau.

“Yang pasti pengalaman memasuki hutan sungguh istimewa. Ini kerana apabila kita semakin mendekatkan diri kepada alam ciptaan Allah SWT, kita akan semakin merasai kebesaran-Nya.

“Sebagai contoh ada sejenis garam di puncak Gunung Jerai yang cukup berkesan untuk ubat kencing manis, dan masa mengambil garam ini yang paling baik ialah selepas kambing gurun menjilatnya dan kambing itu hanya hadir pada waktu tertentu,” katanya.

Antara pengalaman luar biasa yang lain ialah beliau pernah menemui ‘batu leleh’ sebesar pemeluk orang dewasa yang mempunyai banyak keistimewaan, terutama berfungsi sebagai penyerap racun dan bernilai ratusan ribu ringgit.

Apabila ditanya bagaimana daripada hanya pencari akar kayu dan herba di hutan, beliau muncul sebagai peneraju syarikat jualan langsung (MLM) Bumiputera antara yang terbesar di negara ini, Ismail berkata:

“Semuanya bermula ketika saya bekerja di LPP (Lembaga Pertubuhan Peladang) Kampung Kok Keliang dekat Padang Sidin di Perlis. Kami memenangi anugerah Hari Q (Qualiti) JPM (Jabatan Perdana Menteri) dan dihantar ke Indonesia sebagai hadiah.

“Di sana, kami berpeluang melawat beberapa kilang ubat tradisional seperti Mustika Ratu dan Nyonya Menere. Daripada situ saya terfikir mengapa orang Malaysia tidak mencontohi mereka kerana kita ada permintaan tinggi untuk produk ini.

“Lagipun ketika itu saya memang berniaga ubat secara kecil-kecilan. Malah, ketika di UPM pun, saya berniaga ubat di pasar malam. Ramai penuntut UPM sama ada ‘batch’ (tahun) saya atau senior mahupun junior mengenali saya sebagai penjual ubat pasar malam.

“Selepas tamat pengajian dan bekerja di LPP, saya masih meneruskan perniagaan ini dan apabila mendapat suntikan semangat daripada pengalaman di Indonesia, saya berhenti kerja di LPP pada 1995,” katanya.

Mengimbas semula peringkat awal penubuhan HPA atau singkatan Herba Penawar Al-Wahida sempena nama anak sulungnya, Wahida yang kini berusia 18 tahun, Ismail berkata, kejayaan tidak datang bergolek dalam hidup seseorang.

“Malah, saya dan isteri (Norhayati Ahmad) menjual di pasar malam dan dari rumah ke rumah untuk mengumpulkan modal sehingga HPA menjadi syarikat MLM pada 1999.

“Sejak itu kami tidak lagi menoleh ke belakang dan hari ini, HPA mempunyai 350,000 ahli di seluruh Malaysia. Cawangan kami di luar negara ialah Indonesia yang dibuka pada 2001 dan kini kita (HPA) mempunyai kilang di negara itu dengan 50 pekerja.

“Kita juga mempunyai pejabat di Pattani (Thailand) selain Brunei dan Singapura dengan setakat ini 85 produk ditawarkan kepada ahli kami,” katanya.

Bagaimanapun, HPA bukan sekadar sebuah syarikat MLM kerana ia turut menjual produk secara konvensional, selain membekalkan produk kesihatan kepada organisasi tertentu tetapi kemudian dipasarkan dengan menggunakan label organisasi berkenaan.

Ismail berkata beberapa organisasi gergasi di negara ini menjalinkan kerjasama sedemikian dengan HPA.

“Ini satu pengiktirafan, terutama HPA adalah syarikat MLM Bumiputera kedua di negara ini menerima pengiktirafan Good Manufacturing Practice (GMP) pada 1997 dan tahun ini Insyaallah menerima MS ISO-9001,” katanya.

Namun kata Ismail, yang lebih penting ialah orang ramai tidak perlu berasa was-was menggunakan produk HPA kerana mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan (KK) selain disahkan halal.

“Berikutan mempunyai keyakinan tinggi terhadap kualiti produk kami, HPA merancang tahun ini untuk mengorak langkah ke Timur Tengah dan Eropah,” katanya.

Bagaimanapun, beliau membuka HPA bukan hanya berasaskan keuntungan, tetapi juga kerana yakin hanya dengan perniagaan akan memberi peluang kepadanya memajukan diri dan keluarga, masyarakat setempat dan ummah secara keseluruhannya.

“Di HPA, kita sentiasa percaya kepada konsep perkongsian pintar. Sebagai contoh, kita menjalin kerjasama dengan beberapa pemilik tanah dan petani di sekitar Perlis dan Kedah untuk menanam herba, di mana kita akan membeli semula tanaman mereka.

“Pada masa sama, ahli menjalin perkongsian pintar dengan HPA. Ini kerana hanya dengan yuran keahlian serendah RM20 seumur hidup, mereka bukan sahaja berpeluang menggunakan produk bermutu untuk diri dan keluarga, tetapi juga mampu menambah pendapatan dengan menjadi wakil penjual bagi HPA,” katanya.

Selaras dengan hasrat menjadi syarikat bertaraf global, Ismail berkata, pemikiran dan imej HPA juga akan mengikut peredaran zaman dan kehendak pasaran.

“Antara langkah yang diambil ialah memindahkan operasi Ibu Pejabat HPA di Jejawi ke Bandar Tun Razak di Kuala Lumpur, Jun ini. Ini adalah perubahan yang kita lakukan untuk terus maju ke depan,” katanya.

3 thoughts on “HPA Dalam Akhbar 1”

  1. Assalammualaikum…
    saya bercadang ingin membuka kedai menjual produk kosmetik.
    Mustika Ratu adalah salah satu produk yang ingin saya pasarkan.
    oleh itu saya ingin mendapatkan maklumat mengenai bagaimana untuk menjadi pengedar sah, bagaimana saya ingin mendapatkan bekalan, dan harga pengedar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

CommentLuv badge